Kumpulan vokal R&B yang popular sekitar tahun 2000 dulu, Ruffedge kini tampil dengan lagu serta muzik video single tersohor mereka ‘Da Bomb’ yang diberikan nafas baharu.
Lagu versi baharu ini bersempena kempen ‘Kau Memang Da Bomb’ oleh SugarBomb Worldwide Sdn. Bhd. yang telah dimulakan pada Februari lalu.
Kanumbu Agussalim selaku Pengurus Besar SugarBomb berkata, “Kolaborasi ini dipilih berikutan konsep dan lirik lagu ‘Da Bomb’ itu sendiri amat bersesuaian dengan kempen ‘Kau Memang Da Bomb’ yang dijalankan mereka.
Kolaborasi ini juga adalah usaha sama bagi menaikkan semula genre Pop R&B yang dilihat semakin dilupakan golongan muda terutamanya, juga sebagai inspirasi bagi melahirkan lebih ramai penyanyi di dalam genre yang sama.”
Menurut salah seorang anggota kumpulan Ruffedge, Azan Addin, “Projek ini merupakan kerjasama yang pasti akan menarik perhatian media dan pengikut muzik tempatan, selain peminat tegar kumpulan tersebut berikutan gubahan lirik dan muzik video yang baharu itu.
Kami yakin, bahawa lagu ‘Da Bomb’ yang telah diubah suai ini akan mengembalikan semula memori lagu tersebut dan berharap semua peminat menerima dengan baik versi baharu lagu ini setelah versi pertama pada tahun 2005.”
Kumpulan Ruffedge yang dianggotai oleh Azan Addin, Cat Farish, Mode, Sein Qudsi dan Zain Hamid pernah menjadi fenomena melalui lagu-lagu seperti ‘Bila Rindu’, ‘Khayalan’ dan ‘Tipah Tertipu’ dan banyak lagi.- Getaran, 14 April 2021
sumber:
https://www.getaran.my/artikel/muzik/3264/ruffedge-kembali-dengan-da-bomb-versi-baharu